Inilah masanya untuk mengemas kini butiran kad pembayaran anda
Sekiranya anda baru memperbaharui kad debit anda, sila kemas kini untuk memastikan anda dan orang tersayang anda dilindungi oleh sijil takaful secara berterusan

Pilih bahasa anda
close

 

 

SIARAN MEDIA
Untuk Penerbitan Serta Merta

PRUDENTIAL BSN TAKAFUL BERHAD DIANUGERAHKAN FINTECH - LIFE INSURANCE AWARD
PruBSN Aman, aplikasi mudah alih pertama di Malaysia yang menawarkan perlindungan bersama, takaful berlandaskan kerjasama komuniti dan manfaat khairat.

Kuala Lumpur, 27 May 2021 – Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), operator takaful pilihan rakyat Malaysia, telah membawa pulang anugerah Fintech - Life Insurance melalui majlis penganugerahan Malaysia Technology Excellence Awards yang disampaikan oleh Singapore Business Review.

Pada tahun ketiga penganjurannya, majlis anugerah ini meraikan kejayaan syarikat-syarikat yang menghasilkan produk dan resolusi berlandaskan teknologi, termasuklah inovasi projek dalam industri masing-masing yang menyokong kepesatan perkembangan ekonomi.

Melalui aplikasi mudah alih PruBSN Aman yang pertama seumpamanya, PruBSN telah berjaya melakukan pendigitalan proses takaful tradisional yang membolehkan peserta melaksanakan proses pendaftaran, membuat penamaan, penyerahan tuntutan, dan mengemaskini profil. Melalui aplikasi tersebut, pengguna juga boleh melanggan perkhidmatan khairat, membuat sumbangan, dan menguruskan pengebumian dengan cepat dan lancar.

PruBSN Aman telah dilancarkan berikutan kajian yang dijalankan oleh International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), berkenaan konsep skim khairat. Kajian tersebut menemukan bahawa kenaikan perbelanjaan pengebumian telah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan merancang pengebumian lebih awal untuk perjalanan terakhir seseorang di dunia ini. Dana khairat yang lazimnya diselenggara oleh pihak masjid, dikekalkan melalui sumbangan daripada masyarakat sekitar kawasan tersebut atau anggota kariah di mana ada yang menghadapi cabaran dalam menguruskan perbelanjaan yang perlu ditanggung.

PruBSN Aman memperkasakan konsep perlindungan bersama di kalangan komuniti yang mana peserta akan menyumbang kepada peserta yang lain dan dilindungi oleh manfaat sebanyak RM10,000 jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Model ini adalah yang pertama seumpamanya dalam industri takaful di Malaysia dan pengurusan dana peserta dalam akaun bersama tersebut adalah telus.

“Dalam menghadapi musibah kematian, penama anda hanya perlu berhubung MyAngkasa Mukmin, pakar pengurusan pengebumian yang akan membantu menguruskan jenazah sepenuhnya untuk peserta beragama Islam menurut undang-undang Syariah. Dengan PruBSN Aman, kami meningkatkan tahap kemudahan dan memberikan impak positif bukan hanya kepada individu, tetapi kepada komuniti secara amnya,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, En. Wan Saifulrizal Wan Ismail.

Selain khidmat pengurusan pengebumian, peserta juga boleh mengakses informasi berkenaan dana dan status tuntutan melalui papan pemuka aplikasi, serta melihat penyata bulanan/tahunan untuk memastikan ketelusan pengurusan data di kalangan komuniti.

Setiap peserta yang melanggan pelan PruBSN Aman akan membayar sumbangan pendahuluan sebanyak RM120. Daripada jumlah ini, RM30 akan dikenakan sebagai caj wakalah pendahuluan dan baki RM90 akan dimasukkan ke dalam akaun bersama. Wang di dalam akaun bersama tersebut akan menjadi milik peserta dan hanya akan ditolak untuk menolong membayar kos tuntutan kematian, sekiranya kematian berlaku di kalangan peserta.

Sebagai satu aplikasi patuh Syariah yang juga mempraktikkan penyatuan komuniti yang universal, pelan perlindungan PruBSN Aman juga boleh dilanggan oleh masyarakat yang berbilang agama dan kepercayaan.

En. Wan Saifulrizal juga menjelaskan, “Melalui pendigitalan pengurusan dana khairat, PruBSN Aman telah memudahkan prosesnya, dengan telus dan mampu milik. Faktor ini akan menarik perhatian generasi muda, yang mementingkan teknologi dalam melengkapkan tadbir urus perkhidmatan khairat yang ditawarkan oleh masjid-masjid.”.

“Konsep peer-to-peer (P2P) dan perlindungan bersama yang diperkasakan oleh PruBSN Aman juga boleh dicontohi oleh produk insurans atau takaful yang lain, membuktikan konsep produk yang dinamik, fleksibel dan efektif dalam mempromosi perlindungan bersama kepada komuniti dengan saling membantu antara satu sama lain,” tambahnya lagi.