SIARAN MEDIA
Untuk penerbitan serta merta
Prudential Malaysia Melancarkan NextGen Underwriting Engine untuk Mendapatkan Keputusan Pengunderaitan Segera
Kuala Lumpur, 01 September 2021 - Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) (secara kolektif disebut sebagai Prudential Malaysia) telah melancarkan penyelesaian digital terbaharu mereka, NextGen Underwriting Engine, yang direka untuk melakukan penilaian risiko masa-nyata pada waktu permohonan polisi dan sijil takaful sekaligus membuat keputusan pengunderaitan segera pada titik penjualan. Tujuannya adalah untuk memendekkan masa pemprosesan permohonan dengan mengurangkan keperluan seperti melengkapkan soal selidik lalu mempercepatkan prosedur terutama bagi pelanggan yang mempunyai keadaan perubatan yang tidak serius.
NextGen Underwriting diintegrasikan ke dalam platform e-penyerahan PAMB dan PruBSN masing-masing iaitu PRUWay Plus dan PruBSN Mobility. Penyelesaian digital ini menggunakan pertanyaan reflektif atau dinamik di titik penjualan di mana keputusan pengunderaitan dapat dibuat dengan segera setelah pelanggan menyatakan keadaan kesihatan mereka. Dengan penyelesaian ini, masa yang diperlukan untuk mengeluarkan kontrak elektronik bagi polisi insurans atau sijil takaful dapat dikurangkan tempohnya dari beberapa hari ke dua jam, dan untuk kes tertentu, hanya dalam masa 15 minit.
Lim Eng Seong, Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Berhad berkata, “Matlamat utama kami adalah untuk memberikan pengalaman pelanggan yang lancar dan kami berusaha untuk memudahkan proses pembelian dan permohonan bagi mereka. Kami berbesar hati dengan adanya alat pengunderaitan digital terbaharu ini kerana ia membolehkan kami mengeluarkan polisi dan sijil takaful dalam masa beberapa jam sahaja dan dapat memberikan ketenangan minda kepada pelanggan kami dengan lebih cepat.”
Wan Saifulrizal Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN berkata, “Teknologi yang terus berkembang telah mengubah tingkah laku dan gaya hidup kita. Dengan memanfaatkan teknologi terkini dan mendigitalkan model perniagaan kami, kami dapat meningkatkan pengalaman para pelanggan, bahkan mengurangkan tindakan susulan dan keperluan kertas kerja untuk Perancang Kewangan dan Ejen Takaful kami supaya mereka dapat memberikan fokus terhadap hubungan baik mereka bersama para pelanggan.”