Inilah masanya untuk mengemas kini butiran kad pembayaran anda
Sekiranya anda baru memperbaharui kad debit anda, sila kemas kini untuk memastikan anda dan orang tersayang anda dilindungi oleh sijil takaful secara berterusan

Pilih bahasa anda
close

 

 

SIARAN MEDIA
Untuk siaran segera

 

Pemuda Menangi Sebuah Kereta Cabutan Rezeki Utama oleh PruBSN
PruBSN memberi ganjaran kepada 98 orang pemenang cabutan rezeki bagi kempen “Revive, Restore, Retain” dan “Stay Protected”

Kuala Lumpur, 18 Januari 2023 – Pengendali takaful keluarga nombor satu di Malaysia[1] Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) hari ini menganjurkan sebuah majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Cabutan Rezeki Utama bagi kempen “Revive, Restore, Retain” dan “Stay Protected” yang berlangsung pada tahun 2022. Majlis tersebut menyaksikan pelanggan bertuah, Aiman Syafiq Bin Zakaria dari Johor Bahru membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Proton Persona 1.6L Premium CVT yang bernilai RM60,000.00.

Kempen yang bermula pada 1 Julai dan berakhir pada 30 November 2022 itu turut menyaksikan para pemegang sijil PruBSN memenangi hadiah menarik lain seperti telefon bimbit iPhone 14 Pro berharga RM4,139 seunit (5 pemenang), pakej pelancongan ke Pulau Langkawi beserta tiket penerbangan untuk 2 orang bernilai RM3,550 (5 pemenang) dan televisyen pintar 50-inci bernilai RM2,150 seunit (6 pemenang) untuk peringkat 1 (Kempen Revive, Restore, Retain dan Stay Protected).

Sementara itu, 5 pemenang bagi peringkat 2 (Kempen Revive, Restore, Retain) membawa pulang iPhone 13 bernilai RM3,569, iPad berharga RM3,250 (6 pemenang) serta 60 pemenang membawa pulang kad Touch ‘n Go (TNG) bernilai RM100 dan RM50. Seramai 10 ejen turut terpilih memenangi sebuah iPad bernilai RM3,250 setiap seorang melalui Cabutan Rezeki bagi kategori Ejen. Keseluruhan hadiah bagi kedua-dua kempen tersebut bernilai hampir RM300,000. 

Wan Saifulrizal Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN berkata, Kempen Revive, Restore, Retain dan Stay Protected dianjurkan bagi menghargai kesetiaan para pelanggan selain memastikan perlindungan takaful berterusan seiring dengan misi PruBSN untuk membantu rakyat Malaysia memanfaatkan yang terbaik dalam kehidupan.

Menurut Wan Saifulrizal, “Dalam kita mengharungi pelbagai cabaran daripada segi ekonomi, kesihatan, sosial dan persekitaran yang dinamik, situasi yang tidak terduga dan di luar kawalan boleh menimpa sesiapa sahaja. Keadaan ini sememangnya membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila kita tidak mempunyai jaringan keselamatan kewangan yang menjamin masa hadapan kita dan keluarga tersayang.”

 “Kerana itulah kami menganjurkan kempen Revive, Restore, Retain dan Stay Protected pada tahun lalu untuk menggalakkan para pelanggan kami memiliki perlindungan yang berterusan sebagai jaringan keselamatan kewangan sekiranya anda ditimpa sebarang musibah.”

“Itulah pentingnya perlindungan awal untuk menjamin masa depan kita semua dan kesedaran masyarakat untuk membuat persediaan, khususnya dari segi jaminan kewangan bagi menghadapi “rainy day” atau hari-hari kecemasan pada waktu yang tidak kita sangkakan.” Wan Saifulrizal berkata demikian dalam ucapannya ketika meraikan pemenang di Subang Jaya, Selangor.

Kesemua pemenang dipilih berdasarkan cabutan secara rawak dari senarai pemegang sijil dengan pengaktifan semula sijil atau mendaftar untuk pembayaran automatik melalui debit terus atau kad debit/kredit sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Dalam majlis yang sama, Wan Saifulrizal turut mengumumkan kempen terbaru PruBSN agar semua rakyat Malaysia dilindungi pada setiap masa serta menghargai para pelanggan dengan menawarkan ganjaran pakej Umrah dan Haji.

“Pada setiap bulan bermula Januari sehingga Disember 2023, cabutan rezeki akan berlangsung untuk memilih seorang pemenang yang bakal memenangi pakej Umrah untuk 2 orang. Seorang pelanggan bertuah pula bakal memenangi hadiah utama berupa pakej menunaikan fardu Haji untuk 2 orang juga. Untuk melayakkan diri bagi cabutan rezeki, para pelanggan hanya perlu mendaftar untuk pembayaran sijil secara automatik atau “auto deduction” sepanjang tahun ini”, kata Wan Saifulrizal.

Pada September tahun lalu, PruBSN turut mengumum dan menyampaikan hadiah berupa iPhone 13 kepada 10 pemenang bertuah Cabutan Rezeki Early Bird pada bulan Julai 2022 dan 10 lagi pemenang Cabutan Rezeki Early Bird pada bulan Ogos 2022 bagi kempen yang sama.