Inilah masanya untuk mengemas kini butiran kad pembayaran anda
Sekiranya anda baru memperbaharui kad debit anda, sila kemas kini untuk memastikan anda dan orang tersayang anda dilindungi oleh sijil takaful secara berterusan

Pilih bahasa anda
close
Tip Takaful

Penyakit Mental: Apakah definisinya? Adakah saya mengalaminya? Bagaimana saya mendapat bantuan?

Penyakit Mental

Penyakit Mental: Apakah definisinya? Adakah saya mengalaminya? Bagaimana saya mendapatkan bantuan?

 
Menurut suatu laporan teknikal yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Disember 2017, 29.2% orang dewasa (16 tahun dan ke atas) dan 12.1% kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental [i]. Statistik ini menjadikannya sebagai masalah kesihatan kedua terbesar yang membelenggu rakyat Malaysia selepas penyakit jantung. Dengan tekanan tambahan yang dialami dari aspek kesihatan, mental dan kewangan yang berpunca daripada pandemik COVID-19 berpanjangan, peratusan tersebut berkemungkinan telah meningkat sepanjang dua tahun ini.

Meskipun kesedaran mengenai penyakit mental semakin meluas, tetapi masih ada stigma yang buruk dikaitkan dengannya. Malangnya, terdapat ramai orang yang masih percaya bahawa penyakit mental hanya membuatkan seseorang sentiasa berasa sedih, menjadi ‘tak waras’, atau ‘dirasuk’ oleh kuasa-kuasa mistik yang jahat. Stigma ini menghalang golongan yang mengalami penyakit mental daripada mendapatkan rawatan yang betul atau apa-apa bantuan.

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan penyakit mental? Bagaimana anda boleh tahu kalau anda mengalaminya? Dan jika anda fikir sama ada diri anda sendiri atau seseorang yang anda kenali mengalaminya, apa yang anda boleh lakukan untuk menanganinya?


Apakah definisi penyakit mental?

Penting untuk anda tahu bahawa kesihatan mental dan penyakit mental adalah dua perkara berbeza tetapi saling berkaitan. Kesihatan mental merujuk pada keupayaan seseorang untuk berfikir, rasa dan bertindak dalam kehidupan seharian mereka [ii].

Kesihatan mental yang baik dikaitkan dengan keupayaan seseorang untuk menjalani, menghargai dan menikmati hidup dalam cara yang positif, produktif dan seimbang. Namun, individu dengan kesihatan mental yang baik juga tidak dapat lari daripada stres. Tetapi, mereka berupaya untuk menangani stres dan cabaran lain yang timbul dalam kehidupan mereka. 

Individu yang mempunyai kesihatan mental yang buruk pula, mungkin mendapati diri mereka tidak dapat menangani stres, kesakitan dan masalah lain. Kesihatan mental buruk yang berpanjangan dan tidak ditangani boleh, tetapi tidak semestinya, menyebabkan seseorang mengalami penyakit mental. Di samping itu, penyakit mental juga boleh mempengaruhi kesihatan mental seseorang juga.

Lebih dikenali sebagai gangguan mental, penyakit mental adalah suatu kondisi kesihatan yang mempengaruhi dan boleh menyebabkan perubahan pada keupayaan seseorang untuk berfikir, rasa dan bertindak. Individu yang mengalami penyakit mental berasa sukar untuk membuat kerja-kerja biasa, mungkin mereka tidak dapat berinteraksi dengan orang lain, dan dipengaruhi oleh perubahan pada mood dan kelakuan mereka. Penyakit mental boleh dialami oleh sesiapa pun tanpa mengenal usia, dan gangguan tersebut

Jenis-jenis penyakit mental

Menurut Kesihatan Mental Amerika, terdapat lebih daripada 200 jenis klasifikasi penyakit mental [iii]. Antara jenis gangguan mental paling umum ialah:

  • Keresahan

  • Paranoia

  • Skizofrenia

  • Gangguan makan

  • Insomnia

  • Kecelaruan bipolar

  • Kecelaruan obsesif-kompulsif

  • Kecelaruan stres pascatrauma

  • Kemurungan, dan

  • Fobia [iv].


Tahap keterukan penyakit mental adalah berbeza-beza antara individu, begitu juga dengan simptom-simptomnya.


Penyakit mental boleh berpunca daripada beberapa faktor termasuklah:

  • Pengalaman hidup yang buruk semasa kecil seperti trauma atau penderaan.

  • Menghidapi penyakit kronik untuk tempoh yang lama.

  • Penyalahgunaan bahan.

  • Faktor genetik atau ketakseimbangan kimia dalam otak.

  • Kerosakan, jangkitan atau kecacatan fizikal pada otak.

  • Kesunyian, hidup terasing dan kurang pendedahan sosial [v].

 

Membuat diagnosis penyakit mental

Membuat diagnosis untuk penyakit mental memerlukan kepakaran profesional. Terdapat pelbagai jenis kecelaruan berbeza. Oleh itu, terdapat pelbagai tanda amaran yang berbeza juga. Walau bagaimana pun, penyakit mental jarang sekali berlaku dengan pantas, dan jika anda merasakan sama ada diri atau orang tersayang anda mengalami penyakit mental, terdapat beberapa tanda-tanda umum yang boleh dikenal pasti:

  • Perubahan mood, khususnya perubahan mood dan emosi yang dramatik atau pantas.

  • Kurang produktif dan hilang minat untuk melakukan aktiviti di sekolah, tempat kerja, rumah dan aktiviti sosial lain.

  • Perubahan waktu tidur dan selera makan yang dramatik, serta mengabaikan penjagaan diri.

  • Tidak berupaya untuk menumpukan perhatian, masalah daya ingatan, berhalusinasi, dan corak pemikiran atau pertuturan yang tidak logik.

  • Lebih sensitif terhadap cahaya, bunyi, sentuhan dan bau.

  • Berasa takut atau sangsi dengan orang lain.

  • Berasa terasing daripada diri sendiri atau persekitaran.

  • Berkelakuan luar biasa dan tidak tipikal.

  • Menyalahgunakan bahan, mencederakan diri atau menunjukkan minat terhadap perbuatan mencederakan diri [iii] [iv].


Mengalami satu atau dua tanda-tanda ini bukanlah diagnosis penyakit mental yang sah, tetapi mungkin memerlukan penilaian lanjut oleh seorang profesional bertauliah. Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami beberapa simptom tersenarai di atas, anda mahupun mereka disarankan untuk dapatkan rundingan seorang profesional kesihatan mental. Sesiapa yang menunjukkan niat atau berfikir untuk membunuh diri mesti mendapatkan bantuan dengan segera [vi].

Mendapatkan bantuan untuk menangani penyakit mental

Jika anda fikir yang anda mungkin mengalami penyakit mental, kesedaran ini ialah langkah pertama ke arah pemulihan mental anda. Persatuan Psikiatri Malaysia mencadangkan anda untuk bertanya diri anda soalan ini: “Adakah masalah dan simptom saya menjejaskan kehidupan saya?”[v]

Jika jawapannya ialah “Ya”, sudah tiba masanya untuk anda mendapatkan bantuan seorang profesional kesihatan mental. Mereka ialah individu terbaik untuk mengetahui betapa seriusnya penyakit anda dan, jika perlu, membimbing anda ke saluran dan rawatan yang betul ke arah pemulihan mental anda.

Jika seseorang yang anda kenali mengalami penyakit mental, sokongan, kesabaran dan pemahaman anda adalah sangat penting. Jangan paksa mereka untuk bercakap. Sebaliknya, beritahu mereka yang anda ada untuk mereka apabila mereka bersedia nanti. Didik diri anda mengenai kondisi mereka – mengetahui tanda-tanda dan simptom yang mereka alami  bukan sahaja membantu anda memahami sebab mereka berkelakuan dalam cara tertentu, malah membolehkan anda membantu mereka dengan lebih berkesan. Jadi penyokong dalam perjalanan rawatan mereka – bantu mereka menetapkan janji temu pertama dan menemani mereka, jika perlu, khususnya apabila mereka berasa teragak-agak. Kehadiran anda di sana akan menunjukkan keprihatinan anda terhadap diri mereka.

Membantu seseorang yang tidak percaya bahawa mereka mengalami penyakit mental boleh menjadi sukar. Daripada berkongsi diagnosis anda dengan mereka, cuba tanya khabar mereka dan luahkan kebimbangan anda. Tawarkan diri untuk membantu mereka – ramai berasa malu untuk mengaku bahawa mereka tidak boleh menangani masalah yang dihadapi. Tindakan anda ini akan mengingatkan mereka bahawa ada seseorang di samping mereka dan semua orang memerlukan bantuan sekali-sekala.

Selain itu, anda juga perlu ingat bahawa seseorang yang enggan mengaku bahawa mereka mengalami penyakit mental tidak semestinya menafikan keadaan mereka. Anosognosia adalah suatu kondisi yang dialami oleh seseorang yang tidak menyedari kondisi kesihatan mental mereka sendiri dan gagal untuk mengakuinya juga. [vii]. Jika seseorang mengalami kondisi ini, anda perlu bersabar dan menawarkan sokongan emosi kepada mereka. Jika boleh, kongsi bersama mereka lokasi-lokasi untuk dapatkan bantuan apabila mereka bersedia nanti.

Penyakit mental boleh mempengaruhi kesihatan fizikal anda. Diagnosis awal dan rawatan boleh membantu ramai orang untuk menjalani hidup yang normal, produktif serta sihat. Mendapatkan bantuan profesional kesihatan mental yang bertauliah adalah sangat penting dan satu senarai sumber kesihatan mental disediakan di bawah:


Beberapa sumber di atas menyediakan perkhidmatan kaunseling secara percuma atau pada harga berpatutan jika anda berasa risau mengenai kos rawatan.

Penjagaan kesihatan mental dengan PruBSN Anggun

PruBSN memahami kepentingan kesihatan mental dan keperluan individu yang ingin melindungi diri mereka daripada penyakit mental. PruBSN Anggun ialah pelan takaful pertama kami yang menawarkan manfaat penjagaan mental. Selain manfaat fasa hidup, kesuburan, penyakit dan pelbagai manfaat lain, pelan khas wanita ini meliputi perlindungan fi perundingan psikiatri pesakit luar, rawatan dan ubat-ubatan selepas diagnosis beberapa kecelaruan mental umum seperti kemurungan akut, keresahan, kecelaruan bipolar serta skizofrenia.

Langgani PruBSN Anggun, suatu sijil takaful khas wanita yang menyediakan perlindungan untuk segala kebimbangan kaum hawa. Buat masa ini, PruBSN Anggun merupakan satu-satunya sijil takaful kami yang menawarkan perlindungan dan penjagaan kesihatan mental secara holistik. Hubungi kami untuk info lanjut!

[i] “Laporan Teknikal Prestasi Penjagaan Kesihatan Mental Malaysia 2016” oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Disember 2017, https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Laporan/Umum/Mental%20Healthcare%20Performance%20Report%202016.pdf
[ii] “Apakah kesihatan mental?” oleh Adam Felman dalam Medical News Today, 13 April 2020, https://www.medicalnewstoday.com/articles/154543
[iii] “Penyakit Mental dan Keluarga: Mengenali Tanda-Tanda Amaran dan Cara Untuk Menanganinya” oleh Kesihatan Mental America, https://www.mhanational.org/recognizing-warning-signs
[iv]. “10 kecelaruan psikologi paling umum” oleh You Jing Ng dalam Free Malaysia Today, 5 Ogos 2020, https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2020/08/05/10-most-common-psychological-disorders/
[v] “Buku Panduan Kesihatan Mental” oleh Persatuan Psikiatri Malaysia, https://www.myhealthmylife.com.my/sites/default/files/2019-12/Mental_Health_Booklet_181119.pdf
[vi].“Tanda-Tanda Amaran Penyakit Mental” oleh Ranna Parekh M.D., M.P.H., Julai 2018, https://www.psychiatry.org/patients-families/warning-signs-of-mental-illness
[vii]. “Anosognosia” oleh Perikatan Kebangsaan Penyakit Mental, https://www.nami.org/About-Mental-Illness/Common-with-Mental-Illness/Anosognosia