Bagaimana Takaful berbeza daripada Insurans?
Takaful dan insurans memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan kewangan sekiranya perkara yang tidak diduga berlaku kepada anda, seperti mengidap penyakit kritikal, terlibat dalam kemalangan, mengalami kerugian harta benda, ataupun kematian.
Secara amnya, Takaful boleh dianggap seperti insurans versi Islamik, namun terdapat perbezaan pada prinsip dan kaedah bagaimana Takaful beroperasi. Takaful bukan sahaja terhad untuk orang Islam, malah ia juga terbuka kepada orang bukan Islam yang ingin melanggan dan menerima manfaat Takaful.
Apakah perbezaannya?
Dari segi asasnya, insurans melibatkan persetujuan antara orang yang dijamin (anda) dan syarikat insurans (yang akan menanggung risiko). Persetujuan ini dikenali sebagai polisi, dan untuk anda menerima perlindungan sebagai pemegang polisi, anda perlu membuat bayaran, juga dipanggil premium, kepada syarikat insurans yang berkenaan.
Premium yang dibuat akan dilaburkan oleh syarikat insurans. Anda tidak boleh memilih bagaimana pelaburan tersebut dibuat dan ini mungkin melibatkan perniagaan yang tidak mematuhi prinsip syariah, termasuk perniagaan yang mempunyai unsur perjudian, riba dan berisiko tinggi/ketidaktentuan.
Pertolongan Bersama dalam Takaful
Sama seperti insurans, pengendali Takaful akan melaburkan sumbangan anda juga. Walau bagaimanapun, hanya perniagaan patuh syariah sahaja yang berkelayakan. Oleh itu, beban fikiran anda dapat diringankan jika anda ingin memastikan langganan Takaful anda adalah patuh syariah.
Seperti dalam insurans konvensional, Takaful menawarkan pelbagai jenis pelan yang merangkumi perlindungan hayat/Takaful keluarga, perubatan, pendidikan, pelaburan, dan banyak lagi. Berdasarkan kontrak Takaful, perjanjian yang dibuat adalah berlandaskan konsep Ta`awun (kerjasama dan tolong-menolong). Ini bermakna peserta atau pemegang pelan Takaful bukan sahaja dapat melindungi diri mereka sendiri apabila ditimpa musibah, tetapi juga memberi bantuan kepada peserta Takaful lain yang berkelayakan, serta penama mereka.
Setiap kali para peserta membayar sumbangan atau caruman bagi pelan Takaful mereka, sebahagian daripada jumlah sumbangan tersebut akan disalurkan ke Dana Tabarru`. Dana ini akan digunakan untuk membayar pampasan kepada peserta yang membuat tuntutan yang perlu dibayar. Sebahagian lagi sumbangan mereka akan ditolak sebagai bayaran Caj Wakalah kepada pengendali Takaful kerana melaksanakan tugas sebagai “Wakil” dalam menguruskan perkhidmatan yang tersedia di bawah pelan.
Perkongsian Lebihan
Di PruBSN, dana Tabarru` dimiliki secara bersama oleh semua peserta Takaful. Apabila jumlah sumbangan yang dibuat kepada Tabarru` melebihi jumlah tuntutan yang dibayar dan jumlah rizab untuk satu tahun kewangan, lebihan ini akan dikongsi sama rata antara peserta dan PruBSN. Kami memanggil ini perkongsian lebihan. Ini bermakna anda tidak perlu menunggu sehingga akhir tempoh perlindungan Takaful anda untuk menerima perkongsian lebihan dari sumbangan anda, dan anda masih mengambil bahagian dalam perkongsian ini walaupun tuntutan telah dibuat.
Penamaan melalui Hibah bersyarat dalam Takaful
Hibah, yang bermaksud hadiah atau warisan, membenarkan peserta Takaful menamakan seseorang (atau beberapa orang) untuk menerima hibah setelah kematiannya, sekiranya peserta tersebut tidak ingin manfaat Takafulnya diagihkan sebagai harta pusaka bersama aset-aset yang lain. Ini merupakan ciri unik yang sesuai dengan produk jenis warisan, dan merupakan satu kelebihan pelan PruBSN WarisanPlus. Rancanglah warisan anda dengan meninggalkan manfaat anda kepada orang tersayang dengan memilih untuk membuat penamaan secara Hibah bersyarat. Ini membolehkan anda menjaga serta melindungi ahli keluarga dan orang tersayang apabila anda tidak lagi mampu berbuat demikian. Dengan menamakan orang tersayang anda sebagai waris (di bawah Hibah bersyarat), mereka akan dapat menerima manfaat selepas kematian anda tanpa melalui prosedur pewarisan yang lazimnya memakan masa yang panjang.
Takaful, anda memerlukannya!
Sebagai rumusan, Takaful mampu menyediakan satu jaringan keselamatan kewangan sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. Jika anda belum dilindungi, kami mengesyorkan anda melanggan pelan Takaful. Sama ada anda mengalami penyakit kritikal, kehilangan upaya mahupun kematian yang tidak dijangka, Takaful memastikan bahawa anda dan orang tersayang anda menerima pampasan dan perlindungan sewajarnya.
Ketahui lebih lanjut mengenai rangkaian pelan perlindungan PruBSN serta pelan rider hari ini agar anda memperoleh ketenangan minda untuk diri anda dan keluarga tercinta.