Kepentingan Membuat Penamaan untuk Sijil Takaful Anda

Langganan pelan Takaful bukan sahaja memberi perlindungan kewangan apabila anda berdepan dengan situasi yang tidak diduga. Malah, anda juga boleh meninggalkan harta kepada orang tersayang sekiranya menghadapi musibah, seperti sekiranya anda meninggal dunia.
Kebanyakan pelan Takaful memberikan pilihan untuk melantik seorang wasi (pelaksana) atau benefisiari iaitu penerima di bawah hibah bersyarat, dan membolehkan anda meninggalkan manfaat Takaful kepada orang di bawah jagaan anda. PruBSN WarisanPlus direka khusus bagi tujuan ini yang menawarkan jumlah perlindungan yang tinggi sebagai peninggalan warisan anda.
Wasi atau benefisiari di bawah hibah bersyarat – apakah perbezaannya?
Wasi atau benefisiari di bawah hibah bersyarat mempunyai peranan yang berbeza.
Dari segi Takaful, seorang pelaksana yang juga dikenali sebagai wasi, berperanan mengurus pengagihan manfaat selepas kematian pemegang sijil. Sekiranya pemegang sijil beragama Islam, pengagihan tersebut harus mengikut hukum faraid (satu kaedah penentuan hak dan pembahagian harta si mati kepada waris yang layak berdasarkan kepada ketentuan yang telah ditetapkan oleh Syariah) sebagai sebahagian daripada pengagihan aset anda. Hukum ini tidak perlu diikuti sekiranya pemegang sijil bukan beragama Islam. Sebaliknya, pelaksana perlu mengikuti Akta Probet dan Pentadbiran 1959 [Akta 97] untuk pengagihan manfaat Takaful.
Sesiapa sahaja boleh dilantik sebagai wasi, dan wasi tersebut tidak semestinya menjadi penerima manfaat Takaful anda. Wasi bertanggungjawab untuk memastikan manfaat anda diagihkan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Adalah sangat penting untuk anda melantik seorang wasi yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai. Wasi biasanya terdiri daripada ahli keluarga, tetapi anda boleh melantik kawan rapat ataupun pihak berkuasa luar sebagai wasi anda.
Sebaliknya, benefisiari atau penerima pula merupakan orang yang akan menerima manfaat Takaful anda. Manfaat akan diberikan dalam bentuk hibah, atau hadiah, seperti yang dinyatakan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Anda boleh menamakan sesiapa sahaja dan seberapa ramai penerima sebagai benefisiari di bawah hibah bersyarat. Apabila anda menamakan benefisiari, manfaat anda dikecualikan secara automatik dari pengagihan aset yang lain untuk memastikan orang tersayang anda yang dinamakan sebagai benefisiari akan menerima manfaat Takaful anda tanpa perlu melalui prosedur pengagihan harta yang berpanjangan. Manfaat anda boleh digunakan oleh benefisiari untuk membayar hutang yang tertunggak, meringankan bebanan kewangan harian mereka, membantu membiayai pendidikan anak anda, ataupun untuk tujuan lain yang bersesuaian.
Anda boleh melantik seorang wasi atau benefisiari di bawah hibah bersyarat untuk sijil Takaful anda. Tetapi, jangan lupa untuk memaklumkan wasi atau benefisiari yang telah anda pilih supaya mereka tidak terkejut sekiranya dihubungi.
Apa akan terjadi kepada manfaat saya sekiranya saya tidak menamakan seorang wasi ataupun benefisiari di bawah hibah bersyarat?
Sekiranya anda gagal menamakan wasi ataupun benefisiari di bawah hibah bersyarat, waris anda perlu mendapatkan Perintah Probet, Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian sebelum Pengendali Takaful boleh melepaskan manfaat anda kepada mereka. Perintah dan Surat ini perlu dikeluarkan oleh Mahkamah dan proses ini boleh mengambil masa beberapa tahun. Pengendali Takaful anda tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan dana kepada mereka sehingga proses ini selesai. Ini berbeza dari jangka masa yang biasanya hanya mengambil 14 (empat belas) hari bekerja sekiranya anda menamakan seorang pelaksana ataupun benefisiari.
Jika anda mempunyai hutang yang tertunggak, pemiutang juga boleh membuat tuntutan terhadap manfaat Takaful anda, dan sekiranya anda gagal membuat penamaan di bawah hibah bersyarat, orang tersayang anda berkemungkinan tidak akan menerima sebarang manfaat, terutamanya jika hutang anda melebihi manfaat yang sedia ada.
Demi kesejahteraan keluarga anda, pastikan anda menamakan seseorang yang bertanggungjawab secepat mungkin.
Bagaimana untuk menamakan seorang wasi atau benefisiari di bawah hibah bersyarat?
Anda boleh melantik seorang wasi atau benefisiari di bawah hibah bersyarat pada bila-bila masa, termasuklah pada waktu pendaftaran sijil Takaful anda. Penamaan boleh dibuat untuk semua sijil Takaful yang berkenaan, kecuali pelan juvana, di mana orang yang dilindungi berumur di bawah 18 tahun.
Anda boleh menamakan sesiapa pun sebagai benefisiari. Tapi sekiranya benefisiari anda di bawah umur 18 tahun dan/atau tidak sempurna akal – sebagai contoh, anak anda yang berumur 15 tahun dan mempunyai masalah mental – Pengendali Takaful anda berhak untuk mematuhi syarat-syarat tertentu sebelum membayar manfaat di bawah hibah bersyarat:
-
Manfaat Takaful akan dibayar kepada ibu bapa penama terlebih dahulu.
-
Sekiranya penama tiada ibu bapa yang masih hidup dan manfaat tidak melebihi RM50,000, Pengendali Takaful boleh membayar manfaat kepada seorang penuntut (contohnya: penjaga, adik-beradik, ibu bapa tiri, datuk atau nenek) yang memenuhi syarat Pengendali iaitu manfaat hanya akan digunakan untuk penjagaan dan keperluan benefisiari.
-
Sekiranya jumlah hibah melebihi RM50,000, manfaat Takaful akan dibayar kepada Pemegang Amanah Awam atau syarikat awam yang dinamakan pemegang sijil.
Organisasi, syarikat atau entiti bukan individu tidak boleh dinamakan sebagai benefisiari. Tambahan pula, pelaksana yang dilantik harus berumur 18 tahun ke atas, dan berkebolehan untuk menguruskan pengagihan manfaat Takaful anda.
Penukaran penamaan boleh dibuat pada bila-bila masa, dan penamaan yang baru akan membatalkan penamaan sebelumnya secara automatik. Sekiranya anda ingin menamakan semula seseorang, anda harus membuat permohonan baharu. Segala penamaan harus disaksikan oleh seorang yang berumur 18 tahun ke atas yang tidak dinamakan sebagai wasi atau benefisiari di bawah hibah bersyarat.
Sekiranya anda seorang pemegang sijil PruBSN WarisanPlus dan masih belum menamakan seorang wasi atau benefisiari di bawah hibah bersyarat, hubungilah Ejen Takaful PruBSN anda dan lengkapkan proses penamaan hari ini. Jika anda ingin meninggalkan bantuan kewangan kepada keluarga anda sekiranya berlaku keadaan yang tidak diduga, langgan PruBSN WarisanPlus hari ini. Dengan sumbangan serendah RM100 sebulan, anda dapat mewariskan jumlah perlindungan hibah minimum sebanyak RM250,000 kepada orang tersayang sekiranya sesuatu berlaku terhadap anda.
Lindungilah diri anda dan orang tersayang anda hari ini.