SIARAN MEDIA
Untuk siaran segera
JALINAN USAHASAMA UNTUK MEMBANTU KANAK-KANAK KURANG BERNASIB BAIK DENGAN MASALAH PENGLIHATAN
PruBSN Prihatin bekerjasama dengan Our Optometris untuk membantu masalah penglihatan kepada lebih 1,000 kanak-kanak
Kuala Lumpur, 22 November 2021 - Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melalui badan amalnya, PruBSN Prihatin telah bekerjasama dengan Our Optometris untuk menyediakan penglihatan yang lebih baik kepada kanak-kanak melalui program Vision for Education.
Dilancarkan pada 2018 oleh PruBSN Prihatin, Vision for Education bertujuan memberi kesedaran mengenai betapa pentingnya memiliki penglihatan dan kesihatan mata yang baik, di mana ia memainkan peranan penting untuk mendapat pendidikan yang berkualiti. Sebagai satu program di bawah inisiatif Pembelajaran dan Kemahiran Hidup yang dikenali sebagai Program Bijak Belajar untuk mengatasi kemiskinan dan buta huruf dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah yang kurang berkemampuan dengan menyediakan kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira), ia menekankan keperluan untuk menbantu mengurangkan masalah penglihatan atau kecacatan sejak kecil dengan menyediakan pemeriksaan mata, preskripsi cermin mata atau rawatan mata secara percuma.
Our Optometris merupakan organisasi sosial yang menyediakan perkhidmatan penjagaan mata kepada komuniti yang kurang bernasib baik pada kos yang sangat minimum. Bekerjasama dengan PruBSN Prihatin, mereka menganjurkan program Vision for Education di sekolah-sekolah dengan sukarelawan yang melakukan kerja-kerja amal bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan mata kepada mereka yang memerlukan.
Mengulas mengenai inisiatif ini, Presiden PruBSN Prihatin, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, pihaknya berharap dapat menyediakan rawatan pembetulan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dengan mempunyai masalah penglihatan agar mereka dapat meningkatkan kebolehan pembelajaran dan potensi ke peringkat tertinggi. Melalui ini, mereka juga dapat melakukan lebih baik dalam aktiviti harian mereka seperti bersukan dan aktiviti-aktiviti rekreasi lain.
Sejak program ini diperkenalkan, Vision for Education telah memberi manfaat kepada lebih 1,000 murid sekolah di seluruh negara daripada lebih 10 buah sekolah. Pada April 2021, program ini telah diperluaskan ke hospital-hospital melalui kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM). Sebanyak 10 buah hospital telah terlibat pada fasa perintis dan 10 buah hospital tambahan telah tersenarai pada Oktober 2021. Sehingga kini, sebanyak 601 pasang cermin mata telah disumbangkan kepada kanak-kanak daripada rumah kebajikan di seluruh negara dengan lebih 2,266 kanak-kanak terlibat dalam pemeriksaan mata secara percuma dari tahun 2018 hingga 2020. Sempena Hari Penglihatan Sedunia tahun ini, program ini diharap dapat membantu lagi 200 kanak-kanak atau lebih menjelang akhir 2021.
Nor Diyana Hani Binti Ghani, Penyelaras Program Our Optometris menambah, “Apabila pandemik melanda, kami tidak dapat mengadakan pemeriksaan mata secara percuma di sekolah-sekolah. Kami telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan capaian program ini lebih meluas dan menyeluruh. Program Vision for Education ini adalah kerjasama yang baik yang boleh membantu lebih ramai kanak-kanak dengan masalah penglihatan untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan kerana ia memainkan peranan penting untuk perkembangan mereka.”
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama untuk Program Vision for Education dan ingin berterima kasih kepada Our Optometris dan PruBSN Prihatin kerana menjadi penaja utama program ini serta sumbangan mereka terutama cermin mata percuma untuk kanak-kanak dan remaja yang memerlukan. Kami berharap program ini dapat dilaksanakan dalam tempoh jangka masa panjang dan seterusnya memperluaskannya ke setiap fasiliti KKM yang menyediakan perkhidmatan Optometri untuk memberi manfaat kepada lebih ramai kanak-kanak,” kata Datin Rosmawati Binti Uthman, Ketua Profesion Optometri, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Antara hospital yang mengambil bahagian dalam fasa pertama Program Vision for Education ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat, Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan banyak lagi.
“Sesetengah pelajar menghadapi masalah akademik yang berpunca daripada masalah penglihatan yang menghalang mereka daripada belajar dengan baik di sekolah. Cermin mata dan rawatan menelan belanja yang besar bagi golongan miskin, oleh itu kami memenuhi keperluan mereka untuk mendapatkan kualiti Pendidikan yang lebih baik. Sebagai pengendali takaful keluarga di nombor satu di Malaysia, kami berhasrat untuk membantu orang ramai memanfaatkan yang terbaik dalam kehidupan dan berusaha untuk membina komuniti yang lebih kukuh. Kami setia berkhidmat kepada masyarakat sejak 15 tahun lalu dan akan terus menyokong komuniti pada masa akan datang,” tambah Wan Saifulrizal.