Lima Cara Berkesan untuk Melindungi Diri Anda Daripada Jangkitan Denggi

Anda mungkin pernah terdengar bahawa Malaysia mempunyai empat jenis musim: musim kering, musim durian, musim jerebu dan juga musim Denggi. Tetapi di sebalik gurauan itu, wabak demam Denggi biasanya melanda sewaktu musim hujan yang jatuh antara bulan Oktober sehingga Februari, jangkitan sebenarnya boleh berlaku sepanjang tahun.
Demam Denggi merebak melalui gigitan nyamuk Aedes betina, dengan simptom yang serupa dengan demam panas dan tanda-tanda yang termasuk: demam tinggi; sakit pada biji mata, sendi, otot dan tulang; sakit kepala; keletihan dan ruam.
Dalam kes yang kritikal, Demam Denggi Berdarah boleh berlaku, dengan simptom-simptom seperti pendarahan tidak terkawal, sakit perut, cirit birit, kerap muntah dan lebam. Ini boleh membawa kepada Sindrom Kejutan Denggi, yang boleh membawa maut.
Malangnya, tiada ubat penawar atau antiviral bagi demam Denggi, dan pesakit akan diberi rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan. Ini termasuk diberi ubat penahan sakit dan suntikan air, serta rawatan tradisional seperti pengambilan sup ketam dan jus daun betik.
Cara yang paling baik untuk melindungi diri anda dan orang tersayang dari jangkitan demam Denggi adalah melalui pencegahan, dan anda dapat berbuat demikian dengan mengikuti tip mudah dan berkesan seperti di bawah.
1. Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk
Nyamuk Aedes bertelur dalam air yang bertakung dan ia hanya mengambil tujuh hingga sepuluh hari dari masa telur menetas sehingga ia menjadi nyamuk dewasa. Oleh itu, cara yang paling berkesan untuk mencegah Denggi, terutamanya di dalam rumah, adalah dengan memastikan bahawa tiada tempat pembiakan nyamuk.
Anda boleh:
-
Menutup bekas air dengan penutup atau jaring dawai halus untuk memastikan bahawa nyamuk tidak dapat bertelur dalam air.
-
Membersihkan pasu tanaman, pasu bunga, bekas plastik, bekas minuman haiwan peliharaan, saliran atap dan longkang dengan kerap – didapati bahawa penutup botol minuman yang dibuang pun boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
-
Menggunakan serbuk Abate dalam tangki air atau bekas tadahan air yang lain. Kementerian Kesihatan Malaysia dan World Health Organization mengesyorkan penggunaan Abate (1SG) jenis consumer-grade dalam sukatan yang secukupnya untuk merawat bekas air yang mungkin terdedah kepada nyamuk.
-
Menyimpan atau membuang bekas yang mampu menakung air.
2. Tutup pintu dan tingkap rumah sekerap mungkin, atau pasangkan skrin serangga
Walaupun dengan memastikan bahawa pintu dan tingkap sentiasa tertutup merupakan cara yang baik untuk menghalang kemasukan nyamuk dan serangga yang lain, ia bukanlah selalunya kaedah yang paling praktikal.
Sekiranya anda ingin mengekalkan pengaliran angin, pasangkan skrin serangga yang baik. Ini akan membiarkan udara mengalir tanpa membenarkan nyamuk masuk ke dalam. Tetapi, ini hanya berkesan sekiranya skrin dipasang di setiap ruang terbuka, seperti di bawah pintu dan bolong udara. Skrin serangga juga perlu kerap diperiksa dan sebarang kecacatan harus dibaiki dengan segera untuk memastikan nyamuk dan serangga lain tidak boleh melepasinya.
Walaupun anda dapat mengawasi nyamuk ketika terjaga, anda mungkin tidak sedar sekiranya anda digigit sewaktu tidur. Sekiranya pintu dan tingkap tidak ditutup oleh skrin serangga, cuba pertimbangkan pemasangan kelambu sebagai perlindungan tambahan.
3. Lindungi kulit anda dari gigitan nyamuk
Sekiranya anda tinggal di zon wabak Denggi, gunakan alat pengusir nyamuk elektrik untuk melindungi kulit anda dari gigitan nyamuk. Sebelum anda keluar rumah, pakai penyembur nyamuk untuk melindungi kulit yang terdedah. Pastikan bahawa ia mengandungi bahan-bahan yang mampu menghalau nyamuk, dan sesuai digunakan di kulit badan.
Anda juga boleh memakai baju berlengan panjang serta seluar panjang, dalam warna yang neutral seperti perang muda, putih dan kelabu muda. Untuk perlindungan berlebihan, masukkan hujung seluar anda ke dalam sarung kaki dan pakai baju yang berkolar. Jangan lupa untuk turut memakai penyembur nyamuk pada baju.
4. Jauhilah kawasan pembiakan nyamuk
Nyamuk membiak dalam kawasan beriklim khatulistiwa yang lembap, keadaan yang menggambarkan cuaca di seluruh negara kita. Nyamuk aedes juga sering ditemui di kawasan bandar serta luar bandar.
Di dalam bandar, tapak pembinaan terkenal sebagai kawasan pembiakan nyamuk, tetapi wabak demam Denggi boleh berlaku di mana-mana jua.
Di luar bandar, nyamuk boleh membiak di tempat air yang bertakung, seperti tasik, tanah lembap serta kawasan paya. Elakkan kawasan sebegini, atau cuba lindungi diri anda dengan secukupnya.
5. Sentiasa berwaspada
Sekiranya ahli keluarga anda dijangkiti demam Denggi, tingkatkan pengawasan. Sekiranya nyamuk menggigit ahli keluarga yang dijangkiti, ia boleh membawa jangkitan tersebut kepada orang lain – ahli keluarga yang tinggal serumah sering didapati mengalami jangkitan demam Denggi pada masa yang sama.
Bersihkan segala kawasan yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk, semburkan ubat penghalau serangga dengan kerap, dan minta majlis perbandaran atau kontraktor swasta untuk mengabus (fogging) rumah anda serta kawasan sekeliling dengan racun pembunuh nyamuk. Sebaliknya, jika anda melihat aktiviti semburan kabus di kawasan perumahan anda, ini menandakan bahawa kes demam Denggi telah dilaporkan – tingkatkan pengawasan!
Demam Denggi tidak mendiskriminasi, dan walaupun kebanyakan pesakit pulih sepenuhnya, ia merupakan pengalaman yang tidak diingini. Dan tahukah anda bahawa Malaysia mempunyai empat jenis serotaip Denggi? Serotaip ini dikenali sebagai DEN 1, DEN 2, DEN 3 and DEN 4, dan sekiranya anda telah dijangkiti dengan satu jenis serotaip anda tidak boleh dijangkiti semula. Tetapi, anda tidak dilindungi dari jangkitan tiga jenis serotaip yang lain. Ini bermakna anda boleh mengalami demam Denggi lebih dari sekali dalam kehidupan anda.
Tanpa penawar untuk demam Denggi, cara perlindungan terbaik adalah dengan mengikuti langkah-langkah di atas untuk mencegah jangkitan sama sekali. Dengan melindungi diri sendiri dari jangkitan demam Denggi, kita dapat melindungi orang lain, dan cara paling sesuai untuk berbuat demikian adalah dengan bekerjasama dengan ahli komuniti untuk memastikan setiap orang selamat.